Oleh Ziauddin Sharuddin dan Hussain Said
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Isa sambil disaksikan Muhyiddin ketika hadir pada majlis jamuan Aidilfitri peringkat negeri di Port Dickson, semalam. Turut serta, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga dari kiri) dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (kiri).
Pemilihan ambil kira pandangan penduduk Bagan Pinang PORT DICKSON: Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, 11 Oktober ini. Pemilihan Mohd Isa, 60, diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis jamuan Aidilfitri di Batu 6 Jalan Pantai di sini, semalam. Pas pula mencalonkan Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Mohamad Omar, 45, yang diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malam tadi.
Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN, berkata pemilihan Mohd Isa dibuat bukan saja selepas diteliti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah mengambil kira pandangan akar umbi penduduk Bagan Pinang. Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kerja peringkat bawahan dilakukan sebelum keputusan itu dibuat dengan mendapatkan pandangan semua lapisan masyarakat dan semua kaum. "Oleh kerana ini adalah pilihan raya kecil, apa yang penting ialah rakyat didahulukan, rakyat di Bagan Pinang mesti didahulukan.
Zulkefly Mohamad Omar
"Mana yang rakyat hendakkan, itu yang kita akan beri. Siapa yang rakyat mahu, siapa yang Bagan Pinang mahu," katanya disambut laungan gemuruh orang ramai yang menyebut nama `Mohd Isa' beberapa kali. "Okay, Tan Sri Isa lah menjadi calon BN," kata Muhyiddin dan pengumuman itu sekali lagi disambut dengan laungan serta tepukan gemuruh kira-kira 10,000 orang yang menghadiri majlis itu. Hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussain; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon. Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Umno, Azman Mohammad Noor, 54, pada 31 Julai lalu kerana jangkitan dalam darah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian pada 11 Oktober ini. Muhyiddin berkata, pemilihan Mohd Isa turut mengambil kira jasanya dan walaupun melalui tempoh hidup yang sukar dalam politik, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu masih seorang pejuang, berkorban dan tidak pernah berhenti memberi khidmat kepada parti, kerajaan dan negara. Sehubungan itu, beliau meminta jentera pilihan raya BN melancarkan kempen secara tersusun dan menemui setiap pengundi Bagan Pinang bagi memastikan kemenangan Mohd Isa.
BERITA YANG SAMA TAPI DARI PANDANGAN POLITIK YG BERBEZA...
Harakahdaily Tue | Sep 29, 09 | | |
ANALISIS Selepas debat mengenai calon yang paling sesuai berlanjutan sehingga beberapa minggu, kepimpinan Umno terpaksa akur dengan kehendak akar umbi dan keperluan untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang di Negeri Sembilan.
Pengumuman dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Umno sebentar tadi menunjukkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang amat penting bagi Umno selepas tewas kesemua tujuh pilihan raya kecil di Semenanjung selepas Pilihan Raya Umum ke-12 Mac tahun lalu. Usaha untuk membersihkan parti dan meletakkan calon yang bersih untuk memenangi semula sokongan rakyat terpaksa ditangguhkan dahulu. Pencalonan Isa itu juga menunjukkan ketidakupayaan kepimpinan Umno melawan ketua-ketua Umno yang berpengaruh seperti bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, yang membina kumpulan yang kuat sepanjang memerintah negeri kubu kuat Barisan Nasional itu. Tindakan tidak mencalonkan Isa bakal mengundang boikot daripada ahli-ahli Umno akar umbi di negeri ini yang menyokong kuat Isa untuk kembali sebagai menteri besar akibat tidak senang dengan kepimpinan menteri besar hari ini, Datuk Seri Mohamad Hassan. Menjelang pengumuman calon, petanda buruk sekiranya Isa tidak dicalonkan mula kelihatan apabila muncul sepanduk-sepanduk memberi amaran boikot sekiranya Isa tidak dipilih sebagai calon Bagan Pinang. Bekas pemimpin Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad bersuara berkali-kali secara terbuka menentang pencalonan Tan Sri Isa Abdul Samad, tokoh yang terpalit dengan rasuah politik dan digantung oleh parti. Mahathir walau bagaimanapun dalam satu kenyataannya mengaku Isa mampu menang di Bagan Pinang, menunjukkan sokongan meluas untuk ketua Umno Teluk Kemang itu. Berdasarkan tinjauan, Isa terus popular di Negeri Sembilan dalam kalangan Umno, menjadikan pencalonannya sebagai pertaruhan terbaik bagi Umno dan Barisan nasional untuk mencapai kemenangan di Bagan Pinang, walaupun terpaksa mengorbankan agenda membersihkan parti. Isu ini, yang melalui debat yang agak panjang dan terbuka telah mendedahkan pergeseran dalaman Umno sejak beberapa minggu sebelum kempen bermula, memberi kelebihan untuk kempen pembangkang yang dijangka akan memberi fokus pada kelemahan calon parti lawan seperti dilakukan di Permatang Pasir pada Ramadhan lalu. Pencalonan Isa bakal memberi bahan kempen kepada pembangkang, tetapi pada masa sama menjadi penyatu Umno tempatan, sesuatu yang tidak diperolehi Umno dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini seperti Kuala Terengganu dan Permatang Pasir yang menyaksikan calon Umno mendatangkan liabiliti. Pemilihan Isa sebagai calon ini menunjukkan Umno masih sukar untuk melakukan tindakan yang betul memilih calon yang bersih sekiranya tindakan itu bertembung dengan kepentingan kuasa. Isa yang memberi harapan kepada kempen umno di Bagan Pinang ini juga menenggelamkan lagi usaha Umno untuk memilih calon yang lebih bersih. |